06 Juli, 2008

Dalam sebuah hadis Rasulullah menerangkan,

Dalam sebuah hadis Rasulullah menerangkan,

An-nasu mua'dinun. Khiyaruhum fil jahiliyah, khiyaruhum fil Islam. Iza faquhu.

Manusia itu bagaikan logam. Baiknya ia ketika di zaman jahiliyah, baiklah ia di zaman Islam. Jika dia memahami.

Rasulullah membandingkan manusia itu seperti logam. Sebagaimana berharganya logam itu di zaman jahiliyah itu, ataupun di zaman Islam juga. Pokoknya, logam itu berharga. Namun, Rasulullah menyatakan satu syarat - Iza faquhu. "Sekiranya dia memahami". Rasulullah menggunakan perkataan "memahami", bukannya "mengetahui".

Inilah yang saya cuba kaitkan, antara manusia dengan pendidikan. Ramai di antara kita yang dididik dari kecil dengan segenap jenis ilmu. Ilmu agama, hatta ilmu-ilmu dunia. Maka lahirkan kita, generasi yang berilmu hasil dari pendidikan. Tetapi, bernilaikah kita?

Kefahaman itu lebih penting dari ilmu. Kefahaman terhadap sesuatu ilmu membezakan antara manusia yang mampu berfikir, dengan sebuah komputer ataupun sebuah buku yang mengandungi segala macam maklumat di dalamnya. Kefahaman ke atas ilmu menjadi justifikasi kepada seseorang manusia untuk bertindak - sama ada menggunakan ilmunya itu ke arah kebaikan mahupun sebaliknya. Kefahaman terhadap ilmu, itulah yang meningkatkan nilai manusia. Sebagaimana nilai seketul arang (karbon) yang hitam, menjadi seketul berlian yang keras lagi indah.

Justeru, matlamat pendidikan sepatutnya bukan setakat melahirkan manusia yang berilmu, namun melahirkan manusia yang memahami - itulah yang sewajarnya. Rata-rata anak-anak remaja dididik untuk melepasi peperiksaan semata-mata, tanpa ditekankan aspek kefahaman dan nilai-nilai murni yang boleh diperolehi dari sesebuah ilmu tersebut. Hasilnya, kita menjumpai golongan professional yang berpendidikan dunia semata-mata. Di mana silap kita?

Teringat kata-kata seorang guru saya dahulu - aku mengajar kamu semua bukan untuk menjadi doktor, engineer dan sebagainya. Aku mengajar kamu untuk menjadi manusia!

Benarlah kata-kata Rasulullah - berharganya kita sebagai manusia, tidak kiralah di zaman jahiliyah yang tidak bertamadun, mahupun zaman Islam yang menjulang ketinggian ilmu - semuanya terletak kepada kefahaman kita.

Assalamualaikum Tuan Doktor....


Apakah nilai seorang insan yang bertaraf hamba boleh diukur? Adakah harga seorang doktor lebih mahal dari seorang pesakit atau sebaliknya. Apakah sebenarnya yang kita ukur (meletakkan harga)? Ilmunya? pekerjaannya? sifatnya? rupanya? kekayaannya? Adakah itu semua menjadi ukuran? Apakah beza Michael Jackson dan Saiful Apek? Adakah mereka boleh diukur.

Pendapat saya, manusia memang boleh diukur tetapi kita sebagai manusia yang bertaraf hamba tidak layak memberikan harganya. Adakah ayam dipasar ditentukan harganya oleh sesama ayam. Hanya Allah sahaja yang boleh menentukan harga seseorang manusia. Ukuran itupun tidak dapat dilihat secara zahir. Seorang Imam/ ulama tidak semestinya berakhir di syurga dan begitu juga seorang pelacur tidak semestinya berakhir di neraka. Tuan Dr juga tidak boleh terlalu yakin bahawa tuan akan masuk ke syurga. (Jangan marah, saya merujuk kepada diri saya juga). Adakah kita ini cukup mahal harganya di sisi Allah.

Kesimpulannya, harga, nilai mahupun kos seseorang manusia itu hanya boleh ditentukan oleh penciptanya tetapi diri kita sesama manusia hanya boleh meletakkan harga atau perbandingan berdasarkan "harga diri" kita sendiri. Jika yang kita nilai adalah yang kita minati maka tinggi harganya kita letak dan begitu juga sebaliknya.